Advertisement

An-Nur: Nikmat sedekah


"Muhasabah diri : Tangan memberi lebih baik dari tangan yang menerima".

Bersama Zaharuddin Abd Rahman


Sumber dari : http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Ekspresi/20090531113925/Article/indexv_html


MEMANG benar, jutawan Muslim yang bersifat dermawan memang ramai, banyak juga sumbangan yang dihulurkan kepada pelbagai pihak sama ada secara senyap atau terbuka.

Tan Sri Mokhtar Al-Bukhari adalah satu ikon utama yang pasti terlintas di minda kita apabila saja membuka cerita sebegini.


Saya secara peribadi mengenali beberapa individu dermawan seperti Datuk Rameli Musa, Pengasas Ingress Corporation Berhad dan ramai lagi.

Ketika saya pulang ke Malaysia dua minggu lalu, tatkala berbual dengan Ustaz Zahazan di syarikat Telaga Biru Sdn Bhd, beliau ada menyebut berkenaan kejayaan seorang usahawan Muslim bernama Ali Hassan Mohd Hassan yang juga pengasas al-Ikhsan Sport Sdn Bhd.

Jualan syarikat ini dikatakan mencecah RM100 juta setahun dengan cawangannya yang berjumlah 58. Apabila ditanya rahsia kejayaannya, beliau menjawab, amalkan tiga perkara:

1. Penuhi hak Allah SWT tanpa berkira-kira (iaitu zakat sehingga syarikat ini dikatakan penyumbang zakat terbesar di Johor).

2. Jalankan tanggung jawab pada masyarakat.

3. Ramai yang belum mampu melakukan iaitu penuhi hajat ibu, walaupun saudara terpaksa mengorbankan banyak kepentingan.

Memang benar, jawapan yang hampir sama sering saya dengar daripada usahawan Muslim yang berjaya. Sumbangan mereka dibuat secara senyap-senyap.

Segala pujian bagi Allah SWT dan tahniah di atas sumbangan dan sedekah mereka.

Namun begitu, jumlah golongan ini belum cukup besar. Masih ramai lagi hartawan dan jutawan Muslim yang belum dan terlalu berkira-kira untuk menyumbang. Kita sewajarnya lebih laju daripada hartawan bukan Islam yang saya sebutkan di atas.

Kita juga sewajarnya lebih sedar, menyumbang sama ada melalui zakat yang wajib atau sedekah yang sunat akan menambah berkat dan rezeki daripada Allah SWT.

Menambah rezeki yang bersifat spiritual. Sabda Nabi SAW: “Tiadalah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah,” (riwayat Muslim). Kini, ramai merasakan kesan sumbangan yang dikeluarkan adalah pertambahan, bukan berkurangan.

Malah, ia turut dirasa hartawan bukan Islam seperti Bill Gates. Beliau pernah menyebutkan hal ini dalam satu majalah antarabangsa satu ketika dulu (namun saya gagal mencari keratannya).



Jangan beralasan

Jika mereka berasakan nikmat kebahagiaan hasil pemberian itu, bilakah kita pula? Jangan ditunggu kita bergelar jutawan atau bilionair untuk bertindak, mulakan dari sekarang secara kecil-kecilan, sesuai dengan kemampuan kita.

Walau ada kalanya kita tidak layak membayar zakat wajib harta atau pendapatan kerana beban kewangan lebih besar daripada pendapatan, jangan sesekali menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menderma dan menyumbang.

Moga dengan sumbangan kecil dan ikhlas itu mampu menjadi pembersih harta kita dan penyuburnya. Juga ingatlah, derma daripada seseorang yang sedikit harta lebih besar ganjarannya daripada derma individu yang besar hartanya.

Satu hadis menyebut: “Sedekah paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta.” (Riwayat Ahmad 5/178; Tafsir Ibn Kathir, 1/701)

Ikhlaskan niat dan jangan pula ‘kotor mulut’ mencela apabila sedekah diberi kelihatan tidak menambah keuntungan duniawi dalam jangka masa segera.

Saya bimbang, ada yang menderma dengan niat mengharapkan untung berganda selepas dimotivasikan oleh ustaz bersedekah boleh menambah keuntungan.

Justeru, apabila tiada pertambahan, dicelanya hadis, dicelanya ustaz, disesalinya sedekah yang pernah di lakukan dulu sebagai silap dan salah.

Ingatlah firman Allah SWT: “Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka.

“Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Al-Baqarah: 262)

Lihat dan fahami sedalam-falamnya erti yang tersurat pada ayat berkenaan. Setiap pemberian sedekah mestilah diiringi oleh rasa puas, gembira, tiada khuatir, tiada sedih dan sesal.

Bukankah pakar motivasi sedunia, malah doktor menyatakan antara faktor yang boleh memberi kesihatan tubuh, awet muda dan fikiran terfokus adalah KURANG TEKANAN dan hati yang gembira.

Bergembiralah wahai penderma, gembira memberi dan menyumbang sama ada ilmu, harta, masa selain tenaga dengan rela serta reda. Nescaya kita akan lebih tenang dan tersenyum, prestasi boleh meningkat manakala idea pula bercambah.

Bukankah Allah SWT yang menggerakkan hati dan minda manusia lain, sama ada untuk memberi kita kontrak dan tender, mengambil kita bekerja, menaikkan pangkat, melantik kita untuk jawatan itu serta ini, memberi kepercayaan untuk tugasan baru yang lumayan dan pelbagai lagi.

Lalu yakinilah dan bersangka baiklah dengan Allah SWT, nescaya Dia akan menunaikan sangkaan baik kita.

Nah, jika benar-benar kita langsung tidak mampu walaupun 10 sen, ada sedekah lain yang mampu kita tunaikan dengan cemerlang tanpa memerlukan wang, iaitu ajak orang kepada kebaikan dan larang mereka daripada kemungkaran.

Nabi Muhammad SAW berdialog dengan sahabat seperti berikut:

Nabi berkata: “Pada setiap Muslim tuntutan untuk bersedekah.”

Sahabat berkata: “Bagaimana jika tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Usahalah dengan kedua-dua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedekahlah.”

Sahabat bertanya: “Bagaimana jika masih tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu).”

Sahabat bertanya: “Bagaimana jika masih tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka daripada kemungkaran.”

Sahabat bertanya lagi: “Bagaimana jika masih tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedekah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



Kesimpulan

Terlalu ramai orang yang sentiasa sibuk memikirkan cara untuk MENDAPATKAN wang dan harta untuk dirinya. Ya, MENCARI WANG, MENAMBAH WANG, MENGUMPUL WANG.

Siang, malam, pagi dan petang berhempas pulas minda dan tenaga mencari jalan sehingga ingin saja dilanggar semua jalan yang berpotensi walau ia haram atau syubhat.

Yang penting dalam mindanya adalah poketnya semakin tebal. Sedangkan seluruh pengumpulan itu sekadar di dunia yang pendek ini.

Malangnya, sangat kurang yang berhempas pulas memikirkan bagaimana untuk MENYUMBANG WANG, MEMBERI WANG atau SEDEKAH WANG.

Bukankah memberi ini demi kehidupan selepas kematian yang terlalu amat panjang masanya. Mulakan berfikir untuknya, sebenarnya untuk kita juga.

Ambil contoh Brian Burnie, jika seorang jutawan bukan Islam warga Britain boleh berkata dan bertindak berdasarkan katanya ini:

“Kita hidup dalam masyarakat ‘saya, saya, saya’ dan sangat penting bagi saya untuk memikirkan mengenai keperluan orang lain.”

Lalu apa lagi alasan kita sebagai Muslim, bersedekahlah sebelum sampai nyawa di kerongkong... adakah si kaya ini gila kerana mendermakan wang yang begitu banyak?

Atau kita yang mabuk dengan pencarian wang secara pentingkan diri tanpa sebarang pemberian?




An-Nur: Nikmat sedekah An-Nur: Nikmat sedekah Reviewed by Zikri Husaini on 6/17/2009 11:08:00 PG Rating: 5

2 ulasan:

e berkata...

menderma tidak akan menjadikan kita miskin

Zikri Husaini berkata...

betul2..menderma menjadikan sumber pendapaan kita bersih.. insyallah

Dikuasakan oleh Blogger.